Siri Sains Kesihatan
Sepri nline

 
 

Memahami Kanser!




Pendahuluan
 

Sel Normal

Umumnya, setiap organisma hidup adalah berasaskan kepada sekumpulan sel normal yang membentuk tisu dan seterusnya organ tubuh. Di samping itu sel juga bertanggungjawab dalam mengawalatur kestabilan, keseragaman dan kesempurnaan fungsi tubuh sesuatu organisma tersebut. Kegagalan dalam fungsi sesuatu organ tubuh organisma biasanya berpunca daripada ketaknormalan yang berlaku terhadap sel teras organ. Contohnya dalam hipertiroidisme iaitu kegagalan fungsi kelenjar tiroid yang berlaku disebabkan sel kelenjar tidak lagi mampu untuk mengawal kitar mitosis menyebabkan perembesan hormon tiroid yang berlebihan. Kegagalan mengawal kitar mitosis boleh membawa kepada penyakit lain yang disebut sebagai kanser. Kegagalan ini melibatkan beberapa faktor termasuk faktor genetik yang tersimpan di dalam molekul asid deoksiribonukleik (DNA). Dalam hal ini jujukan DNA terganggu akibat mutasi yang berlaku pada bes-bes teras rangkaian asas DNA itu sendiri, di samping pelbagai kemungkinan.
 

Sel Abnormal: Kanser

Penyakit kanser memang berkemampuan untuk menimbulkan kerisauan terhadap diri pesakit disebabkan keganasannya menular ke seluruh tubuh sehingga sukar untuk dibendung. Walau bagaimanapun rawatan semasa untuk penyakit kanser semakin bertambah maju meliputi pembedahan, radiasi dan kemoterapi yang menjadi pilihan kebanyakan onkologis masa kini. Rawatan harus diterima secepat mungkin iaitu sebelum kanser mencapai ke tahap lanjut apabila rawatan menjadi semakin sukar. Agar pembaca lebih memahami, di sini diberikan tahap perkembangan kanser, contohnya dalam kanser payudara yang disenaraikan seperti dalam Jadual 1.1.
 

Istilah Kanser

Kanser adalah merujuk populasi sel yang membahagi di luar proses kawalan normal yang tumbuh seolah-olah tanpa sekatan. Definisi kanser pada amnya berdasarkan kriteria morfologi sel mengikut garis panduan yang diberikan oleh ahli histopatologi. Penamaan kanser pula berdasarkan kepada jenis organ atau tisu di mana kanser mula menular. Hingga kini terdapat lebih kurang 200 jenis kanser yang berbeza yang telah dikenal pasti pada manusia. Contohnya, kanser payudara dinamakan berdasarkan pembentukannya di dalam payudara yang biasanya ditemui oleh pesakit atau doktor sebagai satu ketulan yang tidak menyakitkan serta dapat bergerak dengan mudah.

Berlainan dengan situasi yang berlaku dalam embrio dan fetus, kadar pertumbuhan sel normal jauh berlebihan jika dibandingkan dengan sel kanser, namun pertumbuhan tersebut adalah terkawal dan berhenti pada masa tertentu. Ini adalah berbeza daripada sel kanser yang mana tiada unsur yang bertindak mengawal pertumbuhannya.

Dalam proses hayat sel normal, sel membahagi atau berganda dalam julat masa tertentu. Sel akan memainkan fungsinya dan mengalami kematian, kemudian diganti oleh sel yang seiras dan proses yang sama diulangi. Sel kanser pula berterusan mereplikasi kepada dua sel yang berfungsi sepenuhnya tanpa kawalan, dan setiap satu akan bereplikasi lagi secara geometrik. Fenomena pertumbuhan kanser bukanlah disebabkan oleh kelajuan pergandaan yang dimiliki oleh sel tersebut tetapi berlakunya kegagalan mengawal pembahagian sel sehingga tiada hadnya. Kanser boleh dimulai dengan hanya satu sel yang mengalami pemesongan daripada sel asal di antara jutaan sel yang terdapat dalam tubuh. Biarpun hanya terdapat sebilangan kecil sel yang menimbulkan masalah besar, tetapi sekiranya sel ini menembusi sistem limfa atau aliran darah, sel secara pantas dapat menular ke tempat tertentu dalam tubuh.

Bagi sesuatu tisu yang mengalami gangguan kawalan pertumbuhan akan menimbulkan fenomena neoplasma ataupun tumor. Neoplasma boleh dikelaskan sebagai benigna ataupun malignan, bergantung kepada cara penyebarannya.  Tumor jenis benigna wujud dalam bentuk nodus berkapsul yang terdiri daripada tisu neoplastik, maka tumor ini tidak tersebar atau tidak bermetastasis kepada sel lain di sekelilingnya. Sementara malignan pula biasanya menyerang tisu jirannya dan bermetastasis iaitu berupaya menular ke bahagian anggota tubuh yang lain. Rawatan perlu didapatkan sebelum metastasis berlaku.

Kenapa Sel Kanser Ganas?

Kejadian kanser bukanlah hasil daripada proses hayat semula jadi tetapi suatu unsur lanjutan daripada aberasi kromosom. Semua hidupan termasuk manusia terdiri daripada sel yang gabungannya membentuk tisu dan seterusnya organ yang kesemuanya berperanan bagi membantu sesuatu organisma itu berfungsi secara sempurna. Dalam proses normal, setiap sel dan organ menepati struktur dan fungsi. Setiap sel memelihara kedudukan dan fungsinya, tanpa menyerang sel jirannya. Juga di dalam sesuatu organisasi normal, terdapat mekanisma tertentu yang mengawal atur pertumbuhan sel serta interaksi di antara satu sel dengan sel lain. Tetapi pertumbuhan sel malignan menjadi tidak terhad di samping mengalami ubah suai dalam struktur sehingga membolehkan sel melakukan penembusan atau penembusan separa ke kawasan sel jirannya. Oleh itu, sel kanser mengalami gangguan anatomi, morfologi dan histologi yang membawa kepada berlakunya keabnormalan sel tersebut.

Pengkelasan Tumor

Unsur yang penting dalam mengkelaskan tumor adalah berdasarkan asal usul kelas tisu tumor terbentuk yang boleh dibahagi kepada tiga kategori, iaitu: karsinoma, sarkoma, limfoma, leukemia, eritroblastoma dan mieloma. Karsinoma merujuk kepada kanser yang berpunca atau terbit daripada tisu epitelium, iaitu sel yang melapisi sesuatu kelenjar atau organ tubuh seperti kulit, lapisan salur usus dan salur pernafasan.

Sarkoma merujuk kepada kanser yang berasal daripada tisu perantara yang berperanan menyokong struktur tubuh seperti otot dan tulang. Limfoma, leukemia, eritroblastoma dan mieloma. Kesemuanya melibatkan tisu pembina darah seperti sum-sum tulang, limpa dan nodus limfa, termasuk sistem leukositik.

Pengkelasan Neoplasma

Klinikal
Cara klinikal merujuk kepada anatomi dan ciri tumor. Melalui cara ini dua kelas utama dikenal pasti, iaitu benigna dan malignan. Kebanyakan tumor lebih cenderung tumbuh setempat dan memusnahkan tisu normal tanpa bermetastasis. Walau bagaimanapun, terdapat tumor yang bermetastasis hanya selepas beberapa ketika dan ada yang bermetastasis pada awal pembentukannya.

Histologi
Tumor sering kali berasal daripada tisu yang aktif. Contohnya epitelium kulit dan membran mukus, payudara dan organ reproduktif wanita, tisu perantara, tulang dan sel-sel haemopoietik. Tumor boleh terbentuk daripada mana-mana tisu tubuh dan boleh dibezakan kepada enam kumpulan berdasarkan ciri histologi.

1. Epitelium
2. Tisu haemopoietik
3. Ektodermal neural
4. Salur darah dan salur limfa.
5. Sel yang berasal daripada pembentukan yang tidak normal.
6. Tisu perantara mesodermik, termasuk otot, tulang dan rawan.

Tumor Epitelium Ringkas

Tumor jenis ini biasanya dibahagikan kepada dua jenis iaitu adenoma dan papiloma.

Adenoma
Adenoma ialah suatu unjuran daripada struktur asinus dan duktus pada kelenjar. Pembentukan unjuran atau tubul terhasil akibat proliferasi sel yang berlaku pada epitelium kelenjar. Adenoma mudah terpisah secara sempurna daripada kelenjar induk, membentuk suatu struktur berasingan dan pembentukannya.

Pembentukan tunas pada epitelium tisu perantara yang bersebelahan pula akan menghasilkan asinus yang baru dan terasing sama sekali daripada asinus induk. Dalam keadaan tertentu, bentuk sis ditemui dan dikenali sebagai sistadenoma yang boleh mencapai saiz yang agak luar biasa. Contohnya adalah pada ovari yang berperanan mengeluarkan mukus.

Papiloma
Proliferasi yang berlaku pada sel epitelium permukaan membentuk cuaran atau unjuran yang akhirnya menjadi kompleks. Pertumbuhan melibatkan tisu penyokong dan salur darah. Contohnya mudah dijumpai pada kulit luar seperti struktur ketuat . Papiloma berkemungkinan juga tumbuh dalam duktus seperti pada payudara dengan struktur yang lebih kompleks.

Walau bagaimanapun, terdapat struktur yang dikenali sebagai polip adenomatus yang terhasil daripada gabungan kedua-dua bentuk adenoma dan papiloma. Ini yang berlaku dalam salur usus ataupun dalam pundi hempedu.

Tumor Tisu Perantara Ringkas

Tumor jenis ini berlaku pada tisu perantara tubuh yang telah mengalami pembezaan seperti tisu serat, rawan, tulang, otot dan tisu lemak. Hampir semuanya berbentuk sfera atau berlobul, berkapsul dan bersifat menekan tisu sekeliling. Contoh-contoh tumor yang terlibat ialah fibroma, kondroma, lipoma dan miyoma.

Fibroma
Fibroma adalah sejenis tumor yang amat jarang terjadi dan boleh ditemui dalam tisu subkutan, ovari, renal dan peritoneum. Pelbagai ciri didapati, bergantung kepada kolagen dan darjah selular yang dimiliki. Jenis yang putih dan pejal mempunyai banyak bahan serat kolagen yang kasar. Biasanya jumlah sel putih sedikit dan saiznya agak kecil. Terdapat juga sel yang lebih besar dengan bahan kolagen licin yang mencukupi untuk memberi tekstur yang lebih lembut.

Kondroma
Kondroma terdiri daripada dua bentuk iaitu enkondroma pelbagai dan enkondroma tunggal.  Enkondroma pelbagai adalah sejenis bahan rawan yang ditemui pada kanak-kanak, terutamanya pada tulang rawan anggota. Pertumbuhannya berkurangan seiring dengan peningkatan usia dan akhirnya susut. Enkondroma pelbagai berkembang secara luar biasa berbanding neoplasma yang sebenar. Walau bagaimanapun, enkondroma tunggal berkemungkinan kembali tumbuh membentuk malignan. Fenomena ini boleh dilihat pada pesakit penyakit Ollier.

Enkondroma tunggal terbentuk pada bahagian metakarpal atau falanga pada jari. Enkondroma tunggal muncul pada permukaan atau bahagian dalam tulang dengan bahagian tengah yang agak lembut dipenuhi cecair perang . Pertumbuhannya adalah secara proliferasi dan transformasi metaplastik pada kapsul fibrosit.

Lipoma
Proliferasi sel adipos biasanya berlaku di kalangan individu pertengahan umur dan lebih kerap dijumpai dalam tisu subkutan bahu, punggung dan tangan. Sel itu mungkin juga terdapat di ruang peritoneum yang berhubung rapat dengan renal tetapi amat jarang ditemui dalam organ tunggal. Sel adipos berkemungkinan menular ke dalam tisu sekeliling yang boleh menyebabkan proses penyingkiran menjadi lebih sukar.

Miyoma
Kebiasaannya miyoma muncul dalam uterus, berbentuk bulat bermula dari miometrium. Miyoma adalah sejenis tumor ringkas pada otot licin (leiomiyoma) dan sasarannya pada uterus.  Berkemungkinan miyoma menular ke ruang uterin membentuk polip dan akhirnya muncul di bahagian serus atau permukaannya.

Bahagian sasaran lain adalah di salur gastro-usus, prostat, ovari dan pepundi kencing. Miyoma yang mengandungi komponen serat yang tinggi, seperti di uterus, lebih dikenali sebagai fibroid.

Tumor Epitelium Malignan

Mengikut pengkelasan tumor epitelium malignan dikenali sebagai karsinoma. Pengkelasan dibuat berdasarkan bentuk yang agak berbeza dan luar biasa berbanding normal dengan cara penyebaran setempat. Beberapa jenis karsinoma telah dikenal pasti.

Karsinoma in situ
Juga dikenali neoplasma intraepitelium, karsinoma ini mempamerkan tahap atau tahap perantaraan untuk menghasilkan kanser. Sel kanser ini tidak menembusi tisu di sekitarnya walaupun bentuk sitologi malignannya amat jelas. Karsinoma in situ seringkali ditemui di persimpangan ekto dan endoserviks dan karsinoma intraduktal pada payudara.

Sel pramalignan yang terhasil boleh berubah menjadi normal tetapi kebiasaannya menjadi malignan dan menembusi tisu di sekitarnya yang lebih dikenali sebagai karsinoma mikroinvasif, contohnya dalam kanser serviks pada tahap awal.

Karsinoma Sel Skuama
Karsinoma sel skuama berlaku pada kulit terutamanya pada permukaan yang terdedah kepada sinaran ultra lembayung tetapi juga muncul pada tempat yang terlindung seperti lapisan epitelium skuama vagina, larink, esofagus dan lidah. Karsinoma sel skuama berlaku juga pada organ tunggal seperti paru-paru.

Permukaan yang diselaputi epitelium jenis kelenjar juga mempunyai risiko yang sama kerana berlakunya transformasi metaplastik dalam uterus, serviks dan pundi hempedu.

Karsinoma Sel Asas
Tumor jenis ini wujud pada mana-mana bahagian kulit tetapi kebiasaannya pada bahagian muka, berhampiran mata, hidung dan mulut. Tahap pertama bermula dengan kehadiran papiloma yang rata beransur-ansur membesar dalam jangka masa yang lama. Tahap kedua permukaannya terbenam ke dalam, membentuk lubang diikuti dengan pembentukan ulser. Contoh karsinoma sel asas yang membentuk ulser pada bahagian muka.

Karsinoma Organ Berkelenjar
Karsinoma organ berkelenjar kerap kali berasal daripada kelenjar asinus, duktus atau epitelium kelenjar pada permukaan membran mukosa. Struktur anatominya wujud dalam pelbagai bentuk. Contoh karsinoma pada organ berkelenjar.

Melanoma Malignan

Proliferasi malignan pada melanosit yang berlaku secara de novo disebut melanoma malignan. Contoh melanoma malignan pada kulit, jenis malignan lentigo. Sementara skema bagi fasa pertumbuhan radial malignan melanoma jenis penyebaran superfisial.

Pendedahan kulit secara berpanjangan kepada cahaya matahari memainkan peranan yang penting membentuk melanoma akut atau kronik.

1. Secara akut : menyebabkan kesan terbakar (seringkali berlaku pada orang muda).
2. Secara kronik : mengambil masa beberapa tahun.

Penyakit Bukan Neoplastik

Atropi
Atropi adalah fenomena yang bilangan dan saiz sel masing-masing berkurangan dan mengecil, menyebabkan tisu dan organ yang terlibat mengecut. Atropi berkemungkinan berlaku akibat tindak balas adaptasi terhadap tekanan sehingga isi padu sel mengecut dan seterusnya keperluan tenaga diturunkan ke tahap yang minimum. Penyebab lain yang mungkin ialah sel kurang digunakan seperti dalam otot rangka. Selain penurunan keperluan sesuatu fungsi, kekurangan bekalan oksigen atau nutrien, inflamasi kronik dan proses penuaan juga menyumbang kepada fenomena atropi. Begitu juga dengan gangguan isyarat dalam tindakan hormon. Akibatnya, fungsi sesuatu organ berkurangan.

Displasia
Displasia merujuk kepada pembentukan dan perkembangan sel secara tidak terkawal. Fenomena ini mungkin diiringi dengan metaplasia skuama seperti dalam bronkus atau serviks dan hiperplasia epitelium skuama hasil daripada pendedahan kepada cahaya matahari. Antara perubahan yang berlaku termasuklah peningkatan mitosis, penghasilan sel yang tidak normal dan sel bercenderung menyimpang daripada susunan asal. Pembentukan dan bagaimana displasia terjadi masih tidak diketahui tetapi sentiasa berasosiasi dengan bermulanya malignan. Displasia seringkali ditemui dalam epitelium serviks uterus.

Metaplasia
Metaplasia melibatkan perubahan yang berlaku ke atas tisu yang telah mengalami perbezaan kepada berbagai-bagai bentuk, selalunya daripada kelas yang sama tetapi tidak mengkhusus. Biasanya metaplasia berlaku pada lapisan epitelium kelenjar dan tisu perantara. Seringkali berasosiasi dengan hiperplasia. Metaplasia adalah suatu mekanisma adaptasi. Pendedahan berpanjangan bronkus kepada asap rokok membawa kepada metaplasia skuama pada epitelium bronkial. Proses ini adalah berbalik sepenuhnya. Contohnya, jika rangsangan seperti aktiviti merokok dihentikan epitelium metaplastik kembali normal.

Sasaran Kanser

Payudara

Sejenis kanser yang kekal menjadi pembunuh utama bagi wanita yang diserang ialah karsinoma payudara. Walaupun penyakit ini kebiasaannya menyerang wanita muda tetapi amat jarang berlaku di kalangan wanita yang berusia kurang daripada 25 tahun. Sekurang-kurangnya setengah daripada pesakit akan mati akibat metastasis yang berlaku.

Antara wanita yang mempunyai risiko tinggi untuk memperolehi karsinoma payudara adalah mereka yang mempunyai salasilah keluarga yang mengalami kanser daripada jenis yang sama. Ini termasuk mereka yang mempunyai hubungan rapat seperti ibu, anak dan adik-beradik. Wanita yang pernah mengalami kanser payudara berisiko untuk memperolehi kanser yang sama untuk kali kedua. Begitu juga bagi wanita yang didiagnosiskan mempunyai penyakit fibrosistik juga mempunyai risiko kanser payudara yang tinggi sekiranya penyakit fibrosistiknya dapat dikenal pasti secara histologi.

Wanita yang hamil pada usia awal boleh mengurangi berlakunya risiko kanser payudara. Bagi mereka yang hamil kali pertama selepas usia 35 tahun mempunyai risiko dua hingga tiga kali lebih tinggi berbanding dengan populasi yang ada wanita muda darinya.

Kajian secara epidemiologi ke atas karsinoma payudara menunjukkan terdapatnya beberapa faktor yang berhubungkait dengan peningkatan risiko mengalami karsinoma payudara.  Antara faktor yang berkaitan termasuklah tahap pemakanan dan status sosioekonomi yang tinggi. Ini kerana jaminan atau kemajuan kesihatan yang baik menyebabkan usia matang dicapai lebih awal sebaliknya masa menopos dilambatkan. Keadaan ini membenarkan epitelium payudara membahagi secara aktif dan amat peka terhadap aruhan karsinogenik untuk jangka masa yang panjang. Simpton kanser payudara ditunjukkan dengan kehadiran ketulan pada payudara, pendarahan puting payudara dan perubahan bentuk payudara tersebut.

Proses Metastatik dalam Kanser Payudara

Sehingga kini, terdapat lima faktor berasosiasi dengan prognosis yang tidak jelas dalam kanser payudara, iaitu:

1. Kehilangan reseptor estrogen
2. Kehilangan reseptor progesteron
3. Penghasilan protein angiogenik oleh sel tumor contoh :
    a. faktor pertumbuhan fibroblas asas
    b. faktor pertumbuhan endotelia vaskular
4. Amplikasi gen-gen neu / erB2 / HER 2 ( reseptor faktor pertumbuhan).
5. Penurunan pengekspresan gen nm 23-H1 yang berperanan dalam menekan keupayaan bermetastatik sel-sel melanoma.

Ovari
Kanser ovari ialah malignan ginekologi yang ketiga paling kerap berlaku selepas kanser serviks dan endometrium. Kanser ovari sering menyerang wanita yang nuliparus. Peratusan insiden yang tinggi mendapat kanser ovari boleh dilihat di kalangan pesakit yang mengalami kanser payudara.

Oleh kerana simptomnya tidak spesifik, majoriti kes yang dilapor berada pada tahap penyakit yang teruk. Kanser ovari boleh dikelaskan kepada tiga kumpulan yang besar, iaitu:

1. Tumor permukaan epitelium
2. Tumor sel germa
3. Tumor korda stroma seks

Adenokarsinoma sering berasosiasi dengan faktor yang dipercayai boleh merosakkan permukaan epitelium, seperti ketika proses pengovulan yang berulang. Namun begitu, bagi wanita yang mengalami proses pengovulan yang tertekan seperti semasa kehamilan dan penggunaan oral kontraseptik, adenokarsinoma dapat dielakkan. Pengkelasan neoplasma ovari berdasarkan asal usul sel.

Pangkal Rahim (Serviks)
Kanser serviks ialah sejenis tumor malignan yang menjadi penyebab kedua kematian pesakit kanser pada kaum wanita selepas kanser payudara. Kanser ini boleh berlaku akibat hubungan seks yang bebas dan rambang. Hubungan seks rambang dan koitus pertama pada usia awal menjadi faktor penting dalam menyumbang kepada perkembangan neoplasia intraepitelium serviks (CIN). Kebiasaannya, proses CIN bermula pada suatu bahagian di serviks tetapi proses  itu menular ke kawasan sekelilingnya. Tempat proses CIN sering bermula adalah di kawasan antara epitelium skuama dan epitelium turus. Terdapat tiga jenis karsinoma serviks, iaitu adenokarsinoma, karsinoma epidermal dan campuran kedua-duanya. Kesemuanya berasal daripada sel yang sama tetapi karsinoma epidermal ialah kejadian yang paling kerap dialami oleh pesakit kanser serviks. Perkembangan kanser serviks boleh dibahagi kepada empat tahap. Tahap 1 melibatkan proses kewujudan tumor pada serviks. Pada tahap 2, tumor mula tersebar ke bahagian atas vagina dan seterusnya tahap ke-3 melibatkan perlekatan tumor pada tulang dinding pelvik. Akhirnya, pada tahap ke-4, pertumbuhan tumor mula menular ke kawasan kelenjar mukosa dan mukosa rektum.

Kanser serviks biasanya menyerang wanita yang berusia dua puluhan ke atas dan kerapkali berlaku pada wanita yang berumur 40 ke 50 tahun. Walau bagaimanapun, pada masa kini golongan yang lebih muda didapati turut menghidap penyakit ini memandangkan pertambahan wanita yang melakukan hubungan seks pada usia yang lebih awal. Kanser serviks pada tahap in situ adalah tidak jelas dan memerlukan 10 hingga 15 tahun untuk menjadi kanser. Namun begitu ‘Papahico Lous Smear’ (Pap Calitan) ialah kaedah yang sangat berguna sekurang-kurangnya untuk pengesanan di tahap awal kanser.

Tanda Penyakit Kanser Serviks
Antara simpton yang ditunjukkan ialah pendarahan antara julat masa (sekiranya menstruasi), dalam wanita pos-menopos dan pendarahan vaginal. Simptom lain ialah kesakitan pada bawah abdomen dan berlaku keputihan yang berlebihan.

Kanser Larinks
Kanser larinks kerapkali dikaitkan dengan aktiviti merokok dan ketagihan arak serta pendedahan kepada cecair kimia dalam industri automobil. Namun begitu, kebelakangan ini, bilangan penghidap kanser larinks mengalami penyusutan sama ada di kalangan lelaki atau wanita. Ini kerana keberkesanan diagnosis (Pap Calitan) yang mampu dilakukan pada tahap awal seterusnya memudahkan pemberian rawatan yang sewajarnya.

Lesi jenis ini biasanya tunggal tetapi kadangkala pelbagai, dan melibatkan pertumbuhan struktur polipoid kecil dengan stroma fibrous yang ringkas dan mukosa skuama pada korda suara sebenar. Kebiasaannya mereka yang menggunakan suara secara konstan seperti penyanyi mengalami masalah ini. Perubahan pada nada suara dan kegarauan ialah simpton awal. Pembedahan boleh menyelesaikan masalah tetapi gangguan mutu suara berlaku.

Tanda Penyakit Kanser Larinks
Antara simpton kanser larinks ditunjukkan dengan suara garau yang kekal, ludahan berdarah, kesukaran bernafas dan bercakap.

Hati
Kebanyakan penyakit kanser hati primer (PLC) melibatkan karsinoma hepatoselular yang terbit daripada hepatosit. Sementara hepatoblasma berasal daripada jenis sel yang sama tetapi amat jarang berlaku. Kedua-dua jenis tumor ini kadangkala lebih dikenali sebagai hepatoma kerana kedua-duanya berasal daripada sel-sel hepatosit.

Seperti tumor yang lain, PLC ialah penyakit yang melalui banyak langkah perubahan genomik yang mengakibatkan proliferasi hepatosit secara tidak terkawal. Di dalam keadaan fisiologi normal pesakit dewasa, bukan  sebahagian besar sel yang akan membahagi. Sebaliknya, hanya segelintir sel hepatosit menjalani proses pembahagian kerana sebahagian kecil sel hilang akibat penuaan atau program kematian sel yang disebut apoptosis.

Kedua-dua keadaan ini memainkan peranan atau menjadi punca kepada kesilapan genetik yang membawa kepada proses transformasi malignan hepatosit. Kajian secara molekul dan epidemiologi menunjukkan terdapat lebih kurang lima kemungkinan untuk sel normal hepatosit menjadi tumor malignan. Dalam keadaan kecederaan, peningkatan proliferasi sel hepatosit berlaku, sementara pendedahan secara kronik kepada virus dan bahan toksik akan meningkatkan lagi kematian sel secara tidak normal.

Antara kemungkinan yang ada melibatkan beberapa onkogen dan gen penindas tumor. Kanser hati primer ini berhubung rapat dengan infeksi virus hepatitis B (HBV) atau virus hepatitis C (HVC) dan pengambilan aflatoksin dan alkohol. HBV berkemungkinan berintegrasi ke dalam genom sel perumah dan menyebabkan aberasi kromosom yang besar secara tidak langsung. Aflatoksin ialah sejenis mutagen yang boleh mengaruh mutasi pada kodon 249 pada gen penindas tumor p53. Mutasi lain yang berlaku pada gen yang sama juga ditemui dalam PLC yang tidak berkaitan dengan aflatoksin. Delesi yang berlaku pada beberapa kromosom dalam PLC membuktikannya tetapi penglibatan gen penindas tumor dalam karsinogenesis hepatoselular masih tidak diketahui.

Tanda Penyakit Kanser Hati
Simpton yang selalu diberikan ialah lemah atau lesu, kehilangan berat tubuh, kesakitan di bahagian atas abdomen atau bahagian kanan dada.

Kolon
Jenis pembentukan kanser manusia yang paling difahami ialah kanser yang berlaku pada usus besar (kolon). Seperti kanser lain, kanser ini terbentuk pada sel tertentu dan menghasilkan perubahan genetik serta melibatkan pertumbuhan benigna yang kecil, dikenali polip yang terbina daripada sel-sel mukosa normal. Perkembangan metastasis kanser kolon adalah secara bertahap, iaitu bermula dengan proses pembahagian luar biasa yang berlaku pada sel normal dalam saluran kolon, diikuti dengan kemunculan struktur polip (tumor benigna) pada dinding kolon dan seterusnya, berlaku pembentukan karsinoma malignan .

Kanser kolon dipercayai berlaku akibat perubahan yang dialami oleh empat faktor genetik, dimulai dengan gen penindas tumor pada kromosom 5 yang bermutasi pada salah satu sel polip, satu proto-onkogen pada kromosom 12 bermutasi kepada onkogen. Sel ini berganda dengan pantas dan mengaruh pembentukan struktur polip yang lebih besar. Gen penindas tumor yang kedua (pada kromosom 18), bermutasi dalam sel yang telah mengalami kedua-dua jenis mutasi sebelumnya. Sel ini meningkatkan kadar penggandaannya dan struktur polipnya mula berubah menjadi tumor. Akhirnya, gen penindas tumor pada kromosom 17 bermutasi dalam sel yang mengalami ketiga-tiga mutasi sebelumnya. Sel anak kemudiannya berganda dengan penyebaran yang meluas, menembusi dinding kolon dan menyebarkan kanser kepada bahagian tubuh yang lain.

Tanda Penyakit Kanser Kolon
Antara simpton yang ditunjukkan ialah pendarahan dalam najis atau daripada rektum, perubahan kelakuan pembuangan seperti diarea dan sembelit atau kedua-duanya. Pengeluaran gas berlebihan yang menyebabkan ketakselesaan abdominal sama ada bahagian abdominal berasa penuh atau berlaku kekejangan abdominal.

Prostat
Adenokarsinoma prostat seringkali menyerang golongan lelaki yang berusia melebihi 70 tahun dan penyakit ini melibatkan suatu proses pertumbuhan tumor yang agak perlahan. Pertumbuhan prostat yang normal adalah dikawal atur oleh hormon pertumbuhan estradiol, dihidrotestosteron dan testosteron. Penghasilan estradiol dan testosteron menurun seiringan dengan usia.

Seperti dijangkakan, malignan prostat menghasilkan sejumlah besar 5-a dihidrotestosteron, suatu mitogen yang kelihatan lebih berperanan dalam pertumbuhan tumor berbanding testosteron. Secara klinikal, didapati kehadiran testosteron dan 5-a dihidrotestoteron dalam kultur sel tumor prostat meningkatkan pertumbuhan, sebaliknya antiandrogen bertindak sebagai perencat pertumbuhannya. Kesignifikan ke atas perubahan yang berlaku bermula daripada cara penyebaran setempat karsinoma sehingga penyebaran secara ektensif dan memerlukan kajian lanjut memandangkan kejadian kanser prostat meningkat dengan pertambahan usia seseorang.

Hasil daripada autopsi, didapati metastasis karsinoma prostat berlaku pada nodus limfa, tulang, paru-paru dan hati. Penyebaran tumor ini kerapkali berlaku bersama sepsis atau pneumonia yang biasanya membawa kepada kematian. Kebanyakan karsinoma prostat adalah karsinoma bergantung androgen dan akan menyusut setelah testes disingkirkan atau rawatan dengan agonis LHRH dalam dos yang sesuai diberikan. Kedua-dua rawatan ini penting untuk menghasilkan penurunan pengaturan reseptor LHRH pada gonadotrop dan mengurangkan rembesan LH.

Paru-Paru
Kanser paru-paru paling kerap berlaku di kalangan lelaki di United Kingdom, dan kira-kira 90% kanser jenis ini berpunca daripada pendedahan kepada asap rokok. Punca lain ialah pendedahan kepada radiasi ion seperti gas radon. Kanser paru-paru terbahagi kepada dua jenis berasaskan ciri patologi dan klinikal iaitu:

1. Sel kanser paru-paru yang kecil terbitan daripada sel neuroendokrin   (SCLC).

2. Sel kanser paru-paru yang mengandungi sel skuama, sel bersaiz besar, adenokarsinoma & jenis tumor yang tak terbezakan (NSCLC).

Di samping asap rokok, kemungkinan lain yang boleh meningkatkan risiko kanser paru-paru ialah pendedahan kepada asbestos, hidrokarbon poliakrilik aromatik dan gas radon. Sekurang-kurangnya terdapat 100 bahan kimia yang telah dikenal pasti terdapat dalam asap rokok dan lebih 40 daripadanya adalah karsinogenik kepada model haiwan. Sebahagian daripadanya menunjukkan bahawa terbitan N-nitroso yang hadir berupaya menyebabkan beberapa jenis tumor yang berbeza dalam sistem model.

Pendedahan bahan ini adalah melalui pengumpulan secara pengambilan diet, pencemaran atmosfera dan daripada sumber endogenus. Biasanya bahan N-nitroso memerlukan proses metabolisma untuk menghasilkan bahan perantara aktif yang mampu mengalkilkan DNA melalui penambahan kumpulan metil atau etil mois. Kebanyakan daripadanya menunjukkan afiniti yang baik terhadap tisu respiratori yang berpotensi tinggi dalam asai karsinogen paru-paru. Sekiranya penyusutan berlaku, pesakit kanser paru-paru mempunyai risiko yang signifikan untuk memperoleh malignan kedua seperti leukemia akut atau kanser hati, payudara, pankreas dan kanser pada organ lain.

Tanda Penyakit Kanser Paru-paru
Kanser paru-paru membawa simpton seperti batuk yang berkekalan, ludahan berdarah, kependekan pernafasan, sakit dada, bersuara garau dan kerap berpeluh pada waktu malam.

Perut
Kajian yang dijalankan lebih tertumpu kepada pengambilan diet, memandangkan agen etiologi yang berperanan dalam mengaruh kanser jenis ini masih belum dapat dikenal pasti. Namun begitu secara epidemiologi kajian sedemikian amat sukar diselenggarakan, tetapi pengambilan buah-buahan segar dan sayur-sayuran dalam diet boleh membantu mengurangkan risiko. Sebaliknya pengambilan bahan makanan tiruan secara berlebihan berserta pengambilan garam yang tinggi meningkatkan lagi risiko mendapatkannya.

Bahan karsinogen terbitan N-nitroso memainkan peranan yang penting dalam bahan makanan tiruan, iaitu hasil daripada penurunan nitrat kepada nitrit. Proses ini sebaliknya dapat dikurangkan dengan kehadiran bahan atau agen antioksidan dalam diet. Pengambilan bahan atioksidan seperti beta-karoten (banyak dalam sumber kelapa sawit) atau vitamin C adalah penting bersama pengambilan bahan yang terkandung dalam bebawang dan sayur-sayuran famili sawi mampu menghindari risiko ini. Walau bagaimanapun, terdapat juga kes ketaknormalan kromosom yang berasosiasi dengan kanser perut dan fenomena mutasi pada gen penindas tumor p53 yang berkemungkinan menyumbang kepada perkembangan kanser perut yang bermetastasis.

Tanda Penyakit Kanser Perut
Kanser perut membawa simptom seperti kesukaran menelan, kehilangan berat tubuh, kesukaran penghadaman dan batuk berserta darah. Simptom yang lain termasuklah kesakitan gastrik, perut penuh dan kesakitan selepas pengambilan makanan. Warna muntah adalah keruh seperti kopi.

Otak
Berdasarkan kajian pakar perubatan tempatan, kanser otak boleh berlaku pada keseluruhan penduduk di bandar ataupun luar bandar. Jumlah kes penyakit ini meningkat berbanding lima tahun terdahulu. Apa yang menjadi persoalannya ialah: di Malaysia, didapati kes kanser jenis ini lebih ketara di kalangan orang Melayu berbanding bangsa lain. Walau bagaimanapun, disebabkan pertambahan yang berlaku di kalangan pegawai perubatan dan pakar dalam bidang urat saraf, lebih ramai pasakit dapat dirawat. Kemudahan rawatan dari segi peralatan mengesan yang terkini dan tercanggih dapat memberi imej tiga dimensi tanpa risiko besar seperti alat pengdiagnosan berkomputer, membolehkan penyakit tersebut dapat dikesan di tahap awal.

Tanda Penyakit Kanser Otak
Tanda-tanda awal adalah sakit kepala, muntah atau loya, kabur penglihatan, lumpuh atau anggota tubuh agak lemah berbanding sebelumnya, mudah lupa, cara bercakap yang berlainan dan terkena sawan. Mereka yang mengalami sakit kepala yang kuat terutamanya pada waktu pagi perlu menjalani rawatan doktor sama ada menjalani ujian sinar-X, komputer tomografi otak dan imej magnetik resonan otak.

Sementara penglihatan kabur mungkin disebabkan oleh berlaku proses kompleks yang menyebabkan otak membengkak dan akhirnya menekan ke atas saraf mata. Ini membawa kepada proses pemusnahan urat mata dan secara tidak langsung penglihatan menjadi rosak sehingga berkemungkinan menjadi buta.

Lumpuh boleh berlaku apabila saraf anggota tertentu tertekan atau dimusnahkan oleh kanser. Lumpuh sebelah kanan mungkin berpunca daripada ketumbuhan sebelah kiri dan sebaliknya. Adakala kanser ini boleh disembuhkan dengan ubat antibengkak.

Perubahan kelakuan dan ingatan memberikan tanda kanser otak
berlaku pada tempat tertentu. Manakala, sawan berlaku pada mereka yang mempunyai kesemua tanda-tanda di atas. Rawatan secepat mungkin boleh membantu.

Jenis Kanser Otak
Kanser otak diklasifikasikan kepada beberapa kategori untuk memberi kemudahan kepada doktor melaksanakan rawatan seperti:

1. Kanser yang amat berbahaya. Contohnya : kanser daripada tisu glial.
2. Kanser sederhana. Contohnya : kanser daripada tisu oligodendrosit.
3. Kanser yang mempunyai aktiviti minimum.

Ginekomastia
Ginekomastia adalah fenomena perkembangan buah dada pada lelaki. Kejadian ini banyak berlaku pada kanak-kanak lelaki ketika waktu kematangan mula dicapai. Ginekomastia adalah komplikasi daripada terapi estrogen, dan juga berlaku dalam penghidap hipotiroidisma, hipertiroidisme dan sirhosis hati. Mereka seringkali menghadapi keadaan yang nisbah plasma estrogen : androgen tinggi.

Morfologi ginekomastia adalah sama dengan hipertropi juvanil. Ginekomastia pada orang dewasa biasanya berasosiasi dengan penyakit hati atau dengan kanser paru-paru. Sindrom Klinefelter juga didapati berasosiasi dengan ginekomastia. Sindrom ini turut didapati berasosiasi dengan pengambilan dadah merbahaya seperti marijuana, amfitamin dan heroin.

Tumor Kuku
Penyebab bagi lesi jenis ini yang berlaku di sekeliling atau di bahagian bawah kuku ialah kesan daripada infeksi, trauma, penyakit sistik, pertumbuhan berlebihan vaskular dan benigna serta akibat hiperplasia malignan pelbagai tisu. Dengan pelbagai pengecualian, pencirian klinikal bagi lesi yang berbeza adalah bertindihan.

Walau bagaimanapun, hanya dua contoh lesi tumor kuku yang akan dibincangkan. Ketuat ialah contoh bagi benigna, akibat daripada infeksi oleh papillomavirus manusia, sejenis organisma yang tidak berganda secara in intro tetapi boleh dikesan melalui teknik rekombinan DNA dan imunohistokimia. Infeksi biasanya berlaku apabila virus masuk melalui bahagian kulit yang mengalami trauma ke bahagian stratum korneum dan stratum granulasom.

Mereka yang gemar menggigit kuku lebih cenderung mendapat ketuat periungual. Melambatkan proses rawatan serta jarang membasuh tangan akan menggalakkan infeksi tersebut sehingga membawa kepada pembentukan pelbagai ketuat. Ketuat berkemungkinan menyusut secara spontan tanpa rawatan. Pilihan rawatan yang efektif ialah kemoterapi dengan keratolitik dan agen sitotoksik, krioterapi, pembedahan dan imunoterapi.

Sementara itu, daripada tumor malignan yang ditemui pada kawasan subungual, karsinoma sel skuama subungual adalah yang paling biasa berlaku. Karsinoma pada bahagian isi kuku seringkali tersalah diagnos kerana lesi kronik yang lain seperti aktinik keratosis, kesan terbakar, calar trauma dan radiodermatis, kesemuanya melitupi kanser kulit. Sesetengah penyelidik membuat hipotesis mekanisma yang menyebabkan proliferasi sel dalam karsinoma sel skuama in situ berkemungkinan sama dengan penyebab ketuat.

Lesi lain yang hampir menyerupai karsinoma sel skuama ialah piogenik granuloma, tumor glomus, sifilitik kanker, osteomeielitis kronik, keratoakantoma, melanoma, fibroma dan lesi herpetik. Memandangkan kebanyakan jenis tumor mungkin disalah anggap sebagai karsinoma sel skuama, maka biopsi adalah perlu untuk mengdiagnos secara tepat. Pembedahan Mohs ialah rawatan yang terbaik. Memandangkan keadaan metastasis amatlah jarang, maka pembedahan radikal dimestikan hanya jika bahagian tulang terlibat.
 
 

Untuk maklumat lanjut sila lawat http://www.penerbit.ukm.my/kanser/kandungan.html